LATIH TENAGA MAHIR

DSC_0622

Kuala Lumpur: Pembangunan simulasi komputer menggunakan teknologi realiti maya untuk melatih pekerja dalam pembangunan rangkaian bekalan peralatan, pembaikan dan pengilangan komposit akan dapat menjimatkan kos terutama untuk melahirkan tenaga mahir bagi industri aeroangkasa.

Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Dr Mohd Amin Jalaludin berkata, lazimya pekerja akan akan dilatih menggunakan peralatan pembuatan pesawat yang sebenar seperti besi dan kosnya agak mahal.

“Pemain industri terpaksa memperuntukkan RM30,000 untuk komposit panel seperti besi dan skru dalam usaha melatih tenaga kerja yang baru.

Malah, peralatan itu akan jadi membazir kerana ianya hanya digunakan semasa proses latihan membina pesawat dan tidak boleh digunakan lagi untuk membina pesawat yang baru,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Teknologi dan Aeroangkasa MARA (MARA Aerotech) dan Pusat Inovasi Aeroangkasa (AMIC) dalam kajian dan teknologi AMIC yang dikenali sebagai Sistem Realiti Maya Bagi Latihan Dalam Pembuatan Aeroangkasa (Viristam) di sini, semalam.

Sehubungan itu katanya, dalam usaha untuk mengurangkan kos, UM sedang bekerjasama dengan pemain industri dan firma swasta seperti AMIC dan MARA Aerotech untuk membangunkan satu teknologi realiti maya menggunakan simulasi komputer sebagai latihan kepada tenaga kerja aeroangkasa sebelum mereka menggunakan peralatan yang sebenar untuk membina pesawat.

Tambahnya lagi, perjanjian yang dilakukan bersama membuka peluang kepada IPTA seperti UM dan UKM melakukan penyelidikan bersama pemain industri sekaligus dapat berkongsi kepakaran yang ada.

“Peranan universiti di zaman sekarang bukan lagi hanya tertumpu di dalam kampus saja malah melahirkan kepakaran pelajarnya untuk bersama-sama menyertai pemain industri.

Kita membawa industri ke dalam universiti dan membuka peluang kepada pelajar untuk menimba kepakaran daripada mereka dalam bidang ini.

“Ini adalah contoh yang baik di mana pemain industri optimumkan upaya mereka dengan membawa bersama warga IPT seperti pelajar dan penyelidik dalam penyelidikan dan latihan yang dijalankan.

Mereka mempunyai kemudahan dan kita pula mempunyai kepakaran yang boleh diasah sehingga mampu melahirkan tenaga pakar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AMIC, Shamsul Kamar Abu Samah berkata, kerjasama berkenaan akan membolehkan syarikat itu berkongsi kepakaran mereka kepada pelajar dan juga penyelidik di IPTA.

“Malah ini adalah satu platform yang baru bagi kami untuk bertukar kepakaran bersama pelajar di mana mereka mampu diasah menjadi tenaga mahir dalam bidang aeroangkasa suatu masa nanti,” katanya.

Mou itu akan membabitkan kerja penyelidikan dan pembangunan realiti maya, pembangunan rangkaian bekalan peralatan, pembaikan dan pengilangan komposit dalam bidang aeroangkasa.